Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Khamis, 9 Julai. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik, Jabatan Peperiksaan dan Bahagian Kaunseling pada hari ini mengadakan majlis meraikan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang bersara pada tahun 2025 di Goldstone Ballroom, The Centrepoint Hotel, Gadong.
Seramai 169 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di Kementerian Pendidikan telah bersara pada tahun 2025, terdiri daripada 31 pegawai dan kakitangan dari jabatan-jabatan, 138 tenaga pengajar dan kakitangan yang bertugas di sekolah-sekolah rendah, menengah, maktab dan Institusi Pengajian Tinggi di bawah Kementerian Pendidikan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Pelajaran, Bahagian Kaunseling, Awang Haji Sammali bin Haji Adam.
Majlis diteruskan dengan ucapan penghargaan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad, diikuti dengan ucapan dari Associate Professor, Universiti Teknologi Brunei, Profesor Madya Ir. Dr. Ang Swee Peng, sebagai wakil pesara bagi majlis tersebut.
Acara kemuncak majlis ialah penyampaian sijil dan cenderamata kenang-kenangan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan bersara yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Majlis meraikan pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan yang bersara merupakan acara tahunan yang diadakan khusus bagi menghargai dan mengenang jasa bakti para pesara selama perkhidmatan mereka.
Turut hadir, Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib-naib Canselor, Pemangku Rektor, Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan.